Pegalaman Menyertai AWS Deepracer

Nota : Tulisan ini saya ambil dari Facebook saya bertarikh April 2021, ini merupakan pengalaman kedua menyertai pertandingan AWS deepracer secara virtual, kali pertama adalah di tempat kerja saya pada tahun 2020.

Alhamdulillah, diumumkan sebegai pemenang tempat kedua (2/57) bagi kategori terbuka individu dengan masa 9.134 saat untuk litar sepanjang 17.6 meter di dalam pertandingan RoboNeo Deepracer Challenge 2021 anjuran Official Politeknik Kota Kinabalu, Sabah., Sabah. dan Kolej Komuniti Papar

Pertandingan AWS Deepracer ini dijalankan secara atas talian menggunakan platform awan (cloud) Amazon Web Service. Bebekalkan kredit percuma sebanyak USD100, peserta diberi masa selama satu minggu untuk membina model dengan melatih ejen untuk melengkapkan litar dengan masa terpantas.

Pembinaan model ini menggunakan konsep pembelajaran pengukuhan (reinforcement learning), salah satu cabang kecil dari pembelajaran mesin (machine learning).

Pengaturcaraan fungsi ganjaran (reward function) dibuat menggunakan bahasa pengaturcaraan Python, dan peserta bebas untuk menetapkan kelajuan (speed), kemudi (steering), dan “hyperparameter” untuk membina model.

Bagi setiap sesi latihan pembinaan model, ejen (kereta maya) akan diberi ganjaran (reward) atau denda (penalty) mengikut tindakan yang dilakukan. Sebagai contoh, sekiranya ejen keluar dari litar, denda akan diberikan dan sekiranya kereta bergerak secara laju, lancar dan tidak banyak belok, ganjaran akan diberikan. Lama-kelamaan, ejen tersebut akan belajar apa yang sepatutnya dilakukan di dalam litar, dan apa yang tidak sepatutnya.

Selain daripada ejen, pembelajaran pengukuhan ini hakikatnya dilalui oleh peserta itu sendiri. Dengan kaedah cuba dan jaya, peserta akan menambahbaik  model yang dihasilkan sama ada dengan mengubah fungsi ganjaran ,  hiperparameter (hyperparameter) dan tambahan masa pembelajaran.

Setelah habis fasa pembinaan model, pada hari pertandingan iaitu 10-11 April 2021, peserta menghantar model-model terbaik yang telah dilatih. Kereta maya tersebut akan dilepaskan bergerak secara pemanduan kendiri (self driving), dan kedudukan terpantas boleh dilihat di laman pertandingan secara masa nyata (Real time).

Bagi mereka yang pernah menonton cerita Start Up, anda boleh bayangkan suasana bagai mana Nam Do San dan rakan-rakan  SamSan Tech membina model terbaik untuk memasuki pertandingan CODA dan seterusnya menyertai Sandbox. Lebih kurang begitulah agaknya perasaan peserta yang menyertai pertandingan ini, walau dalam skala yang jauh lebih kecil.

Tahniah kepada pihak penganjur RoboNeo, dan semua peserta. Semoga pertandingan seperti ini akan terus diadakan pada masa hadapan untuk memupuk minat masyarakat terhadap kepintaran buatan (AI) dan pembelajaran mesin. Tidak mustahil nanti Malaysia dapat melahirkan Jurutera AI beretika tinggi yang pertama mencipta pemanduan kendiri tahap 5 menandingi Tesla, Waymo dan lain-lain.

Akhirnya, selamat menyambut bulan Ramadhan. Bagaimana hebatnya ciptaan manusia, hakikatnya adalah di dalam ilmu Allah jua.

Ramadhan ini, kita tingkatkan produktiviti, dan elakkan pembaziran insyaAllah..

keputusan:
https://www.facebook.com/roboneosabah/posts/1665811476929298

#AWS #DeepRacer #python #artificialintelligence #machinelearning #ReinforcementLearning #selfdrivingcars

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Related Post